Saturday, March 21, 2009

JAMUAN MAKAN SEBAGAI STRATEGI TARBIAH


Hari-hari kita makan. Oleh sebab makan itu perkara biasa, kita mungkin tidak pernah terfikir bahawa makan itu ada kaitannya dengan tarbiah dan usrah.
Seorang ahli kumpulan diskusi Gerak Usrah telah mengemukakan isu ini dalam satu postingnya yang sangat ringkas: "Mula-mula baginda memanggil semua kaum kerabatnya. Kesemua mereka datang, termasuk Abu Lahab. Semasa baginda mengadakan jamuan kali pertama, baginda berpidato selepas jamuan selesai. Pidato baginda diganggu oleh Abu Lahab. Pada kali kedua, baginda adakan jamuan lagi. Baginda melihat Abu Lahab masih lahap makan, terus baginda bangun berpidato. Abu Lahab tidak dapat berkata-kata sebab mulutnya penuh dengan makanan."

Kisah ini menunjukkan bahawa dakwah nabi dimulakan di kalangan kaum kerabat sendiri dan disampaikan dengan berhikmah sesuai dengan situasi yang dihadapi melalui seni pidato. Yang menariknya pidato itu disampaikan semasa hadirin menikmati jamuan. Hal ini merupakan satu strategi dakwah.

Abu Lahap bukan sahaja namanya Lahap, malah kelakuannya ketika makan juga begitu. Sudah pasti pelahap pantang berhenti ketika sedang enak makan. Nabi menggunakan kesempatan ini untuk menyampaikan mesej dakwahnya. Mahu tak mahu, telinga Abu Lahap terpaksa mendengar pidato Nabi. Namun hatinya tetap keras-tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi kita. Inilah gambaran manusia yang suka menurutkan nafsu lahapnya seperti mana yang digambar oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Masad.

Iktibar daripada kisah ini ialah memberi jamuan kepada kaum keluarga, termasuk para pelajar dan rakan-rakan, memang wajar menjadi amalan kita. Hal ini demikian kerana mengadakan jamuan untuk kaum keluarga merupakan strategi dakwah permulaan. Seorang ustaz yang juga timbalan naqin usrah pernah berkata, jika seseorang itu sudi memenuhi pelawaan kita untuk sama-sama menikmati jamuan, itu tandanya orang itu boleh dibentuk atau berkemungkinan menerima seruan (dakwah) kita.

Pandangan ustaz itu wajar dijadikan sebagai dorongan tambahan untuk kita memulakan atau meneruskan aktiviti menjamu para pelajar dan rakan-rakan sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Seorang rakan pernah mengadakan jamuan sebaik selesai acara membaca al-Ma'thurat beramai-ramai selepas Subuh pada hari Minggu. Jamuan itu diadakan di masjid atau di rumahnya. Kebelakangan ini dia lebih kerap mengadakan jamuan di rumah kerana setelah mendengar seorang ustaz berkata bahawa Malaikat Rahmat akan mengekori orang yang masuk ke rumah kita untuk sesuatu tujuan yang baik seperti untuk menikmati jamuan.

Pandangan ustaz itu ada kebenarannya. Rakan kita mendapati dua pertiga daripada mereka yang selalu makan di rumahnya akhirnya menjadi ahli usrahnya atau usrah-usrah tertentu di institusinya. Sesetengah anak usrah itu boleh dilentur dalam masa sebulan dua sahaja. Yang lain hanya boleh dilentur setelah hampir setengah tahun dia berinteraksi dengan mereka sama ada semasa makan atau dalam aktiviti-aktiviti lain. Ada seorang pelajar hanya dapat dilentur setelah setahun lebih makan minum dengannya di masjid dan di rumah.

Ada kisah aneh berkaitan dengan jamuan makan untuk anak usrah ini. Suatu pagi, nasi lemak yang dihidangkan oleh tuan rumah tidak disentuh oleh seorang anak usrahnya. Anak usrah itu cuma makan timun dan telur sahaja. Pagi hari Minggu yang berikutnya, sekali lagi dia menyertai sarapan pagi di rumah naqibnya. Kali ini dia tidak menyentuh pula nasi goreng yang dihidangkan. Dia cuma makan beberapa keping roti dan lauk-lauk yang ada.

Dipendekkan cerita, anak usrah itu memang tidak makan nasi. Dalam satu aktiviti perkhemahan, si naqib berkesempatan mengorek kisah benar yang menyebabkan anak usrahnya itu tidak makan nasi. Sebenarnya, pada suatu masa dahulu dia memang kuat makan nasi. Nenek yang menjadi penjaganya kerap merungut tentang nafsu makannya itu. Suatu hari, rungutan nenek itu mencapai tahap yang tidak dapat diterima oleh akalnya diikuti dengan perlakuan yang menyedihkan. Mulai saat itu dia berazam untuk tidak akan makan nasi lagi. Azam itu dikotakannya.

Kini sudah bertahun-tahun anak usrah itu tidak makan nasi. Dia cuma makan roti, sayur-sayuran dan makanan lain tanpa nasi. Dia kerap berpuasa sunat. Peliknya, dia adalah ahli sukan yang cukup cergas dan pernah menjadi olahragawan di institusinya. Si naqib amat menyayanginya kerana semua tugas yang diamanahkan kepadanya akan disempurnakannya sebaik mungkin walaupun dia tidak tidur semalaman.

Kebanyakan pelajar di institusi pengajian tinggi bukanlah golongan yang mampu membeli makanan yang enak-enak. Oleh itu tenaga pengajar wajar mencipta beberapa acara makan di masjid. Biaya acara tertentu wajar ditanggung sepenuhnya oleh tenaga pengajar. Biaya beberapa acara makan yang lain sama ada ditanggung sepenuhnya oleh kumpulan pelajar atau sebahagiannya menjadi tanggungan tenaga pengajar. Dengan cara ini hubungan anak usrah dengan tenaga pengajar akan bertambah intim dan gerakan dakwah dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

Daripada kisah Abu Lahap itu, kita dapati berpidato semasa hadirin menikmati jamuan juga merupakan strategi dakwah. Berpidato ketika orang sedang makan semasa kenduri-kendara untuk mengajak hadirin mengamalkan Islam yang syumul memang pernah dilakukan di sesetengah tempat di negara kita. Adakah perkara ini masih diamalkan pada masa kini?

Kita mungkin cukup biasa berborak semasa makan. Seorang rakan kerap berbicara tentang tema oembangunan dari sudut Islam ketika sedang menghadapi makanan bersama para pelajar dan rakan-rakannya. Ada kumpulan usrah menjadikan waktu menikmati jamuan selepas usrah sebagai medan untuk menyambung bicara yang tidak dapat diluahkan semasa usrah-kerana perkara itu kurang penting, atau perkara itu penting tetapi, atas sebab-sebab tertentu, tidak wajar dibicarakan semasa usrah.

Wajarkah kita hidupkan aktiviti berpidato ketika hadirin sedang makan? Jika wajar, sesuaikah tazkirah (sejenis pidato) pada malam Jumaat yang selama ini disampaikan sebelum acara jamuan, disampaikan semasa makan? Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah.

No comments: